Welcome

hit counter
Powered by Blogger.
Backlink - OhDunia.my
Friday, November 8, 2013

[DG4] #Bapa dalam masjid gementar anak maut nahas



Kangar: “Hati saya berdebar-debar ketika mendekati lokasi kemalangan sebaik keluar dari masjid. Saya hanya mampu beristighfar apabila anak lelaki saya yang terbabit dalam kemalangan itu.”

Begitu kata warga emas, Bahari Mohamad, 74, apabila anaknya Suhaimi, 49, mati serta merta di tempat kejadian selepas kereta Perodua Myvi dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok berhampiran Masjid Sempering, Jalan Santan, dekat sini, semalam.


Difahamkan, dalam kejadian jam 12.40 tengah hari, mangsa yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kompleks KDN, Seriab dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah untuk bersiap bagi menunaikan solat Jumaat sebelum terbabit dalam kemalangan itu.




Bahari dari Kampung Sempering, Mukim Sena, berkata, dia berada di dalam Masjid Sempering sementara menunggu masuk waktu solat Jumaat sebelum ada orang datang memberitahu anaknya terbabit dalam kemalangan tidak jauh dari situ.


“Saya berasa hairan dan berdebar apabila orang ramai mendesak supaya saya keluar dari masjid dan pergi melihat kemalangan itu.


“Saya kuatkan semangat dan ke tempat kejadian sebelum mendapati ramai orang mengelilingi kereta anak saya yang terlanggar pokok tepi jalan.



“Saya mengucapkan istighfar banyak-banyak untuk menenangkan hati sebaik melihat jasad anak terbaring,” katanya.


Menurutnya, arwah yang juga anak sulungnya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum ini kecuali tidak menunaikan solat Subuh berjemaah dan mendengar kuliah tafsir al-Quran semalam sedangkan ia aktiviti kebiasaannya setiap minggu.



Katanya, arwah tinggal bersamanya serta adik lelaki yang menghidap penyakit buah pinggang sejak 1990-an dan membuat rawatan dialisis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.


“Arwah juga seorang pendiam sejak berpisah dengan bekas isterinya lebih 10 tahun lalu dan tidak mempunyai cahaya mata,” katanya.


Adik mangsa, Khairul Anuar, 30, berkata, arwah abangnya ada membeli beberapa gulung tikar di Pasar Sehari Pokok Getah di Mata Ayer dan menghadiahkan salah satu daripadanya kepada anak saudaranya berusia 18 bulan.


“Arwah seorang pendiam dan tidak banyak bercakap, namun tidak pernah membelikan hadiah kepada anak saya sebelum ini. Saya tidak menyangka hadiah tikar itu menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya meninggalkan kami,” katanya.


Khairul Anuar yang bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis berkata, kebiasaannya dia dan arwah akan pulang ke rumah dan bersiap sebelum ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat dan kemudiannya makan tengah hari bersama sebelum kembali ke tempat kerja selepas itu.


Katanya, dia mengetahui kejadian menimpa abang ketika memandu pulang ke rumah melalui Jalan Santan sebelum ternampak kesesakan lalu lintas berhampiran Masjid Sempering.


“Sebaik ternampak kereta abang, saya terus menjadi gementar dan berhenti di bahu jalan sebelum meluru untuk melihat keadaannya yang sudah meninggal akibat kemalangan itu,” katanya.


Katanya, jenazah arwah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sempering, petang semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas sebelum melanggar pokok dan meninggal dunia di tempat kejadian.


Katanya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Follow US

http://www.youtube.com/channel/UCsghcTraCTkI2J3aHcW0CgA

Like Us

Blog Archive